BAB 5

JIKA  TIDAK KERANA KULEPASKAN PELUANGKU ke UK untuk Mia dan Asyraf, mungkin aku tidaklah terlalu ralat melepaskan Mia pada emak mertuaku. Yalah, aku telah melepaskan satu peluang besar yang mungkin tidak akan datang-datang lagi. Sanggupkah aku melepaskan satu lagi kecintaan diriku, iaitu anak sulungku yang sangat manis dan comel itu?
            Sudahlah yang selama ini dikejar telah dibiarkan pergi, yang ada dalam kendongan pun mahu dilepaskan juga?
            Sesiapapun akan faham betapa beratnya apa yang kutanggung, melainkan orang itu terlalu ego untuk memahami!
            Selepas kutolak peluang ke UK, Asyraf tidak lagi kelihatan sugul dan risau. Mungkin dia rasa lega benar, sebab aku tidak berjauhan darinya. Maksudku, jauh beribu-ribu batu. Atas sebab inilah, aku tidak lagi mahu berjauhan darinya. Aku mahu sama-sama ada di sisinya waktu senang dan susah. Aku ingin selalu berbual-bual di kala rehat petang dengan buah hatiku, lalu bercerita tentang Mia yang keletah. Aku inginkan keindahan itu.
            Adakah harapan ini terlalu besar untuk aku? Oh... sungguh tidak adil jika dikatakan aku tidak layak untuk semua itu.
            “Kalau Suria dah dapat kerja di Kuala Lumpur nanti, siapa yang akan jaga Mia?” tanya Asyraf mematikan lamunanku.
            “Kita hantarlah pada pengasuh atau nursery,” balasku, yakin benar.
            Asyraf cepat menggeleng, “Itulah yang abang risau sangat. Abang tidak percaya orang lain boleh jaga Mia sebaik emak abang.”
            Aku terkejut mendengar kata-katanya. Nampaknya, dari segi itu, Asyraf dan emaknya sama sahaja, dua kali lima. Lalu, aku cepat sahaja membalas, “Habis tu, Suria tak pandai jaga Mia?”
            Bibit-bibit pertengkaran bila-bila sahaja akan timbul jika tiada pihak yang menyejukkannya.
            “Bukan begitu, sayang. Tentulah Suria akan menjaga Mia sepenuh kasih sayang seorang ibu. Tapi, dari segi pengalaman, emak abang yang lebih banyak pengalaman.”
            Aku terdiam. Memang ada betul kata-katanya. Tiada gunanya dilawan. Sudah itu kehendak dia. Lalu akalku mula berjalan mencari penyelesaian.
            “Kalau macam tu, biarlah Suria duduk di rumah dulu untuk menjaga Mia, sampailah Mia besar sedikit. Masa tu, barulah Suria cari kerja,” cadangku pula.
            Asyraf kelihatan kelegaan mendengar janjiku. Dia mula mampu tersenyum semula.
            “Kalau Suria tak kerja, lagilah senang. Bolehlah Suria duduk di kampung dengan emak. Mia tak perlulah berpisah dengan emak abang,” katanya, lurus benar.
            “Abang!!!”
            Belumpun sempat kami sampai ke Kuala Lumpur, dia sudah mencadangkan aku kembali tinggal di kampung. Aduh, bendul benarkah suamiku ini!

            Benarlah kata orang, sukarnya hendak diselarikan kepala lelaki dan perempuan, walaupun tidurnya sebantal.

No comments:

Post a Comment

BAB 5

JIKA  TIDAK KERANA KULEPASKAN PELUANGKU ke UK untuk Mia dan Asyraf, mungkin aku tidaklah terlalu ralat melepaskan Mia pada emak mertuaku. ...