“BENDA SEMUDAH NI PUN
TAK BOLEH BUAT!” Asyraf menengking. Riak wajahnya
bagai tidak percaya apa yang dilihat di hadapan matanya.
Aku gugup. Tidak pernah kudengar
nada begitu dari dia. Terkial-kial aku mengangkat kipas berdiri yang baru jatuh
tadi.
Aku sendiri tidak mengerti. Mengapa
cuai benar aku sejak kebelakangan ini. Semua kerja terasa amat sukar. Semua
benda terlalu susah untuk kuterjemahkan dalam fikiranku.
Semua mata memandang tepat ke
wajahku. Riak yang sukar ditafsirkan. Serta merta aku rasa malu yang teramat
sangat. Kipas tadi kutinggalkan. Mia yang ada dalam dakapan Asyraf juga
kutinggalkan. Aku bergegas ke dalam bilik lalu menutup pintu. Menggeletar
tanganku tanpa kupaksa-paksa. Suara
kasar Asyraf tadi amat menusuk lubuk hatiku.
Entah mengapa, kolam mataku terasa
panas dan basah. Air mata mengalir lesu di pipiku. Di manakah terbangnya
semangatku selama ini. Entah mengapa ceria itu juga sama hilang dengan layunya
semangat.
“Kak, jomlah kita makan.”
Terdengar suara Aina di luar,
diikuti ketukan perlahan.
“Kak… Boleh Aina masuk?” terdengar lagi suaranya
yang lembut.
Pintu kudekati. Tombol kupusing lalu
dan pintu terkuak perlahan. Wajah manis Aina muncul di celah-celah daun pintu.
Dia terjengok-jengok sambil tersenyum menyerigai seperti kebiasaannya.
“Jomlah kak,” ajaknya, manja. Tidak
ditegurnya mataku yang berair.
“Tak apalah. Aina makan dulu, ya.
Nanti Kak Suria datang,” balasku, tersenyum hambar. Hati yang tawar membuatkan
butir-butir nasi rasakan bagai tidak tertelan di kerongkongku.
Aina berlalu. Aku kembali ke katil, lalu perlahan-lahan
berbaring di situ. Bantal kekabu lembut buatan mak kuusap perlahan. Fikiranku
terbang jauh.
Entah mengapa Asyraf cepat sangat
marah sejak kebelakangan ini, atau hanya aku yang merasakan begitu. Sebentar
tadi Aina bagaikan tidak sedar kesedihanku. Apakah bagi mereka, suara tengking
Asyraf itu hanya suatu kebiasaan di dalam keluarga mereka?
Tapi, Asyraf harus sedar. Aku ini
orang luar yang baru sahaja cuba memahami kehidupan bersama keluarganya. Bukan
mudah untuk aku menyesuaikan diri. Aku
juga memang seorang yang amat pemalu bila tiba dalam hal-hal sebegini. Aku
tidak biasa bercakap menengking-nengking.
Terdengar bunyi daun pintu dibuka
perlahan. Berkeriut-keriut bunyinya. Aku menelan pahit air liur. Tentu Asyraflah
yang sedang mendekatiku. Aku dapat merasakan kehadirannya.
“Sayang… .
Kenapa?”
Tubuhku diusap dari belakang. Terasa
panas hembusan nafasnya di leherku. Aku diam membatukan diri.
“Kenapa ni,” tanya dia lagi, lembut.
Air mata mula mengalir bercucuran.
Aku cuba menahannya namun tangisan semakin menjadi-jadi sehingga aku mula rasa
pening.
“Eh! Kenapa ni?” dia kaget. Cepat
dialihnya tubuhku supaya berdepan dengannya. Susuk tubuhnya yang bidang itu kini
makin rapat lalu aku berada di dalam pelukannya.
Aku langsung tidak boleh bercakap.
Hanya menangis lagi. Arghh, mengapa sukar
benar?
Asyraf berbisik hangat ke telingaku,
“Abang minta maaf kalau abang bersalah.” Satu ciuman hinggap di pipiku. Air
mataku dikesat dengan jari-jemarinya
yang kasar.
Memang Asyraf amat berseni tatkala memujuk. Aku kalah
pada kehangatan belaiannnya. Tangisan yang tidak dapat kutahan tadi, kini mula
reda. Hanya tinggal aku yang masih terasa
malu. Wajahku kusorok dari renungannya.
“Jomlah
makan,” ujarnya lagi, dengan nada suara memujuk.
“Tak
apalah, bang. Saya malu,” balasku, berat.
“Malu?
Kenapa pula?” dia bertanya, masih sukar menangkap kemelut hati ini.
“Malu
pasal tadilah,” aku berkata selaju mungkin, supaya dia faham rasa geram yang
bersarang.
“Eh,
kami tak rasa apa-apa pun,” balasnya pula, kehairanan. “Kenapa harus malu?”
Ya lah,
kenapa harus malu? Aku mula terfikir.
Namun aku tiada jawapannya.
“Nanti
datang ya. Suria kena makan. Nanti Mia nak menyusu,” pujuk Asyraf. Dia
melonggarkan pelukannya. “Abang kena pergi ni. Nanti mak hairan pula, apa yang
dibuat berlama-lama dalam bilik,” ujarnya nakal sambil mencuit hidungku.
Jatuh lagi
wajahku ke dada lantai. Ucapan sebegitu amat menggetarkan sehingga membuatku
bertambah malu. Terasa amat asing. Sungguh-sungguh aku tidak biasa dan aku
tidak suka dengan anggapan-anggapan yang sedemikian.
Dia
pergi. Aku membelek-belek mataku yang sembab dek tangisan tadi. Sabarlah, pujuk
hatiku lalu perlahan-lahan membuka pintu dan melangkah keluar dari bilik.
No comments:
Post a Comment