BAB 5

JIKA  TIDAK KERANA KULEPASKAN PELUANGKU ke UK untuk Mia dan Asyraf, mungkin aku tidaklah terlalu ralat melepaskan Mia pada emak mertuaku. Yalah, aku telah melepaskan satu peluang besar yang mungkin tidak akan datang-datang lagi. Sanggupkah aku melepaskan satu lagi kecintaan diriku, iaitu anak sulungku yang sangat manis dan comel itu?
            Sudahlah yang selama ini dikejar telah dibiarkan pergi, yang ada dalam kendongan pun mahu dilepaskan juga?
            Sesiapapun akan faham betapa beratnya apa yang kutanggung, melainkan orang itu terlalu ego untuk memahami!
            Selepas kutolak peluang ke UK, Asyraf tidak lagi kelihatan sugul dan risau. Mungkin dia rasa lega benar, sebab aku tidak berjauhan darinya. Maksudku, jauh beribu-ribu batu. Atas sebab inilah, aku tidak lagi mahu berjauhan darinya. Aku mahu sama-sama ada di sisinya waktu senang dan susah. Aku ingin selalu berbual-bual di kala rehat petang dengan buah hatiku, lalu bercerita tentang Mia yang keletah. Aku inginkan keindahan itu.
            Adakah harapan ini terlalu besar untuk aku? Oh... sungguh tidak adil jika dikatakan aku tidak layak untuk semua itu.
            “Kalau Suria dah dapat kerja di Kuala Lumpur nanti, siapa yang akan jaga Mia?” tanya Asyraf mematikan lamunanku.
            “Kita hantarlah pada pengasuh atau nursery,” balasku, yakin benar.
            Asyraf cepat menggeleng, “Itulah yang abang risau sangat. Abang tidak percaya orang lain boleh jaga Mia sebaik emak abang.”
            Aku terkejut mendengar kata-katanya. Nampaknya, dari segi itu, Asyraf dan emaknya sama sahaja, dua kali lima. Lalu, aku cepat sahaja membalas, “Habis tu, Suria tak pandai jaga Mia?”
            Bibit-bibit pertengkaran bila-bila sahaja akan timbul jika tiada pihak yang menyejukkannya.
            “Bukan begitu, sayang. Tentulah Suria akan menjaga Mia sepenuh kasih sayang seorang ibu. Tapi, dari segi pengalaman, emak abang yang lebih banyak pengalaman.”
            Aku terdiam. Memang ada betul kata-katanya. Tiada gunanya dilawan. Sudah itu kehendak dia. Lalu akalku mula berjalan mencari penyelesaian.
            “Kalau macam tu, biarlah Suria duduk di rumah dulu untuk menjaga Mia, sampailah Mia besar sedikit. Masa tu, barulah Suria cari kerja,” cadangku pula.
            Asyraf kelihatan kelegaan mendengar janjiku. Dia mula mampu tersenyum semula.
            “Kalau Suria tak kerja, lagilah senang. Bolehlah Suria duduk di kampung dengan emak. Mia tak perlulah berpisah dengan emak abang,” katanya, lurus benar.
            “Abang!!!”
            Belumpun sempat kami sampai ke Kuala Lumpur, dia sudah mencadangkan aku kembali tinggal di kampung. Aduh, bendul benarkah suamiku ini!

            Benarlah kata orang, sukarnya hendak diselarikan kepala lelaki dan perempuan, walaupun tidurnya sebantal.

BAB 4

SEMBILAN BULAN SEBELUMNYA...
            TANGANNYA YANG BERULAS KASAR MELURUT-LURUT PERUTKU. Sentuhan itu terlalu lembut, bagai begitu kasih pada nyawa yang ada di dalam. Dia tersenyum setenang-tenangnya.
            Aku menarik nafas dalam. Kebelakangan ini, aku kerap terasa sesak nafas, terutamanya bila bayi di dalam kandunganku mula bergerak.
            “Bagaimana ya, bang?” aku bertanya untuk ke dua kalinya, cuba menyedarkan dia yang diulit harapan-harapan indah.
            “Bagaimana apa, ya?” dia membalas kembali, masih tersenyum-senyum sendirian.
            “Tentang Surialah, nak sambung master dan Phd?” balasku pula, cuba menarik ingatannnya.
            “Oh, yang itu,” katanya.  “Suria pergilah, abang tak sanggup menghalang...,” sambungnya lagi, lambat benar butirnya. “Tapi..., bayi ini, tinggalkanlah pada abang di sini. Biar emak abang jagakan.”
            Aku merenungnya, kurang pasti apa niat sebenarnya.
            “Mengapa kena tinggalkan bayi ni pula. Mengapa Suria tak boleh bawa dia ke sana?” tanyaku pula, inginkan kepastian.
            “Sebab abang sayangkan dialah,” balas Asyraf, masih bermanis-manis.
            “Oh!” aku mula menjadi lorong untuk menduganya. “Jadi abang tak sayanglah pada Suria?”  rupa-rupanya, kata-katanya tadi menerbitkan rasa sedikit cemburu di hatiku. Hati perempuan, begitulah.
            “Abang tak mahu suatu hari nanti abang dipersalahkan bila Suria tak dapat sambung belajar,” balasnya, begitu teratur.  “Abang tak mahu keluarga Suria kata, abanglah penghalang masa depan Suria,” jelasnya lagi, dengan nada rendah.
            Aku terdiam. Barulah kufaham mengapa dia tidak banyak berbicara semenjak aku mendapat surat tawaran menyambung pelajaran di United Kingdom. Rupa-rupanya, dia sudah lama menimbang berat dan ringan keputusan yang bakal dibuatnya.
            Sikapnya yang begitu mendahulukan kehendak aku dan orang-orang tersayang di sekelilingnya, membuatkan aku begitu cinta padanya. Hinggakan bila berpisah berminggu-minggu dengannya, aku bagaikan angau jadinya. Setiap kali ada kereta yang lalu di hadapan rumah emaknya, mataku seakan-akan nampak Asyraflah yang memandunya, pulang untuk bertemu denganku.
            Kalaulah cinta ini selama-lamanya sebegitu indah dan hangat.  Aku bagaikan tidak percaya bahawa suatu masa nanti, mungkin cinta ini pudar padanya. Tidak sekali-kali perkara sebegitu akan terjadi.
            “Suria faham situasinya, bukan?” tanya Asyraf, meminta pengertianku.
            Aku mengangguk lemah. Tidak sanggup rasanya, berpisah dengan mereka. Aduh, berat sungguh fikiranku.
            “Takkanlah Suria kena bersendirian di UK tu?” aku mengeluh, khuatir benar.
            Asyraf menarik nafas dalam, sebelum melepaskan sedikit keluhan. Dia menutur kata satu persatu, “Abang pun tak tahu apa yang harus dibuat. Ikut hak abang sebagai suami, abang boleh sahaja tidak mengizinkan Suria terima tawaran tu. Tapi, abang tahu, Suria memang bercita-cita tinggi. Itu yang buat abang makin sayang, sebab Suria ada semangat hidup untuk diri sendiri.”
            Aku mendengar tanpa berkata apa-apa. Hanya bibir diketap kerana amat sedih mendengar tutur katanya.
            “Kalau boleh, abang tak mahu lepaskan Suria jauh dari abang. Suriakan di bawah tanggungjawab abang. Suria isteri abang...,” bicaranya kali ini kelihatan lebih beremosi.  “Tapi, sebagai anak lelaki sulung dalam keluarga, abang dah lama buang kehendak diri. Abang kena lihat dan beratkan apa kehendak emak, Suria, Mia, dan semua orang di sekeliling abang.”
            Dia diam, kali ini lebih lama. Berat benar apa yang mahu diluahkan kali ini. “Inilah yang buat abang dilema sangat-sangat... .”
            Aku makin resah. Semakin aku tidak tahu apakah keputusan yang harus aku ambil. Haruskah aku mendahulukan cita-citaku lalu berpisah dengan anak ? Atau, haruskah aku melepaskan peluang ini, pejam mata dan lupakan segala impianku, demi keluarga yang baru sahaja aku miliki ini?
            Argh...  Berat sungguh untuk membuat keputusan. Aku mula rasa bahawa kedua-dua keputusan ada kekecewaannya yang tersendiri.

BAB 3

EMAK MERTUAKU MENCIUM MIA BERTALU-TALU. Air matanya bercucuran. Setelah lima bulan aku dan Mia ditinggalkan Asyraf dengan emaknya, akhirnya Asyraf bersetuju membawa aku pulang ke Kuala Lumpur. Itupun setelah kudesak berkali-kali.
            Aku sebenarnya amat rendah hati, boleh sahaja tinggal dengan sesiapa pun. Itulah pada hematku. Tidak kupasti apa pula kata orang tentangku.  Namun, aku mula merasakan, apa gunanya aku berkahwin dengan Asyraf, kalau diriku berkampung di rumah mertua tanpa kehadirannya. Dia pula hanya mampu pulang dua atau tiga minggu sekali. Itupun pulang sehari dua sahaja, dan diminta ahli keluarganya membuat itu ini sehinggakan dia tidak sempatpun berbual-bual denganku.
            Aku mula merasa jauh dari Asyraf. Tidak kupastikan mengapa begitu lama Asyraf meninggalkan aku di kampung. Dia tidak menjawab bila ditanya.
            Lalu aku mula meminta belas ehsan suamiku supaya aku dapat pulang ke Kuala Lumpur bersama-sama dengannya.  Aku ingin bahagia bersamanya. Rasanya, impian ku ini bukanlah satu impian yang sangat sukar dipenuhi. Sebagai isteri, di manakah selayaknya tempatku kalau bukannya untuk sama-sama bersusah senang dengan suami. Impian yang bukan pun menjadi impian pada wanita-wanita lain, tapi ianya bagaikan angan yang sukar bagi diriku ini!
            “Kau tak kasihan kah tengok emak kau, Asyraf?” selar Mak Teh Noni yang merupakan adik kepada emak mertuaku.
            Asyraf tidak berkata apa-apa. Riak wajahnya nampak gugup. Dia seperti tidak tahu apa yang harus dilakukan. Dia bagaikan di persimpangan untuk memilih mengikut kehendak aku atau kehendak ibunya.
            “Alah... Suria pun muda lagi, bukan? Nanti Suria beranaklah lagi,” tambah Mak Teh lagi, langsung tidak berlapik.
            Aku tersenyum kelat. Tiada gunanya dilawan kata-kata emak saudaranya. Semakin dibalas, semakin panjang pula jadinya nanti.
            Namun, aku semakin sedar, telingaku makin hari makin sensitif dengan perkataan-perkataan begitu. Aku khuatir suatu hari nanti mulutku pula mula pandai menjawab.  Sebelum terjadi perkara sebegitu, lebih baik aku berundur terlebih dahulu.
            Akhirnya kami bertolak juga. Mia kupeluk lalu pandanganku hanyut ke luar tingkap kereta.  Bukan aku tidak kasihan pada emak mertuaku. Aku masih punya pertimbangan kemanusiaan. Tapi, aku tidak boleh berpisah dengan Mia.
            Mengapa mereka tidak mampu memahami. Aku boleh gila tanpa Mia!
            Aku tahu ada wanita yang cukup tabah dan kuat untuk berpisah dengan bayi mereka yang masih kecil. Memang aku pernah bertemu sahabat-sahabatku yang begitu kuat hatinya, berpisah jauh dari anak, kerana kesungguhan mereka mahu meyambung pelajaran di luar negara. Tapi aku tidak setabah itu.
            Setabah-tabahnya wanita ini, aku pernah lihat rakan sebilikku yang menyambung pelajaran di peringkat Phd, hampir hilang kewarasannya kerana anak dan suami berada beribu batu jauhnya di kampung.
            “Tergamak ya, kita. Buat emak abang macam tu,” suara Asyraf tiba-tiba memecah kesunyian.
            Aku mengerut dahi. Wajah Asyraf kupandang. Dahiku mula terasa berkerut.
            “Tapi saya dah tinggalkan cita-cita saya untuk abang dan Mia,” aku mula membentak.
            Asyraf memandangku sekilas, lalu membalas, “Cita-cita?”
            “Abang dah lupa kah?”
            Sungguh aku tak percaya, masakan Asyraf lupa perbualan kami tentang hal ini suatu masa dahulu, sewaktu perutku lima bulan mengandungkan Mia.
            Asyraf kelihatan menggigit bibirnya. Dia tidak lagi berkata apa-apa. Hanya wajahnya sahaja yang kelihatan serius.

            Begitulah keadaan Asyraf yang aku kenali. Dia memang tidak suka bergaduh mulut denganku. Biasanya, dia akan diam dan tidak berkata apa-apa, hinggakan hatiku pula yang menderita kerana mengharapkan dia faham apa yang aku katakan.

BAB 2

“SURIA BERILAH MIA PADA MAK. Suria boleh ikut Asyraf ke Kuala Lumpur, cari kerja di sana,” pinta emak mertuaku, bersungguh-sungguh. Pipi montel Mia dikucupnya berkali-kali.
            Entah mengapa, aku rasa tersirap darah naik ke mukaku. Aku keliru dengan sebenar-benarnya. Mengapa pula anakku hendak diambil. Aku tidak sanggup berpisah dengan Mia!
            Namun, getar di hatiku tidak sekali-kali kusuarakan. Aku cuba mengawal perasaanku sambil kepalaku ligat cuba menyelesaikan persoalan yang timbul tiba-tiba itu.
            Fikiranku menerawang pada peristiwa sebulan lalu, sewaktu aku masih di dalam pantang. Mia menangis meraung-raung sewaktu aku cuba menyusukannya. Dia kelihatan seperti tidak puas menyusu badan. Dia meraung hingga hilang suara!
            “Suria bagi sahaja susu botol. Lagi mudah kenyang. Lagipun, kalau Mia menyusu badan, nanti dia tak mahu berpisah dengan Suria.  Susahlah kalau mak nak jaga Mia bila Suria tiada nanti,” cadang emak mertuaku dengan bersahaja lagaknya.
            Aku yang mendengar serta-merta meremang bulu roma. Apa tidaknya, bukankah cadangan itu membawa maksud Mia mahu dipisahkan dariku. Menggigil tubuh badanku, terbang rasa percayaku pada emak mertuaku.
            Sewaktu aku memakaikan pakaian ke badan Mia, emak Asyraf tiba-tiba datang mengambil Mia dari peganganku. Baju yang baru kupakaikan ditanggalnya, lalu dia memakaikan Mia pakaian yang baru dibelinya di pasar malam dua hari lepas.
            Aku terdiam. Walaupun hatiku tertanya-tanya, pertanyaan itu tidak kusuarakan. Aku tidak mahu sesiapa membuat anggapan buruk terhadap persoalan yang kuutarakan.
            Namun, di hujung mataku, aku bagaikan nampak bahawa emak Asyraf tidak percayakan aku untuk menjaga baik cucunya. Hatiku tersayat tiba-tiba. Baju yang kupakaikan, adalah hadiah dari emak kandungku. Kenapa baju itu harus dibuang sedangkan baru sahaja dipakaikan.
            Hairannya aku, sukar sangatkah bagi orang tua untuk menjaga hati orang muda seperti kami. Orang muda zaman ini berpelajaran dan begitu sensitif dengan hak dan kepercayaan. Zaman bagiku telah berubah. Orang muda dan warga tua harus adil dan wajar dalam bertindak.
            Pernah sekali kupakaikan Mia dengan bedak talkum yang aku beli, emak Asyraf tiba-tiba datang dengan tuala kecil yang agak lembap, lalu  mencuci bedak yang baru kusapu. Mia kemudiannya disapu dengan bedak sejuk buatannya sendiri.
            Aku tidak berkata apa-apa walaupun hatiku sedikit terusik.
            Aku dapat merasakan betapa sayangnya keluarga Asyraf pada Mia. Maklumlah, Mia cucu sulung mereka, dari Asyraf yang merupakan anak sulung dalam keluarga. Jadi, Mia disayang sebegitu sekali, sehingga mereka lupa, ada seorang lagi yang turut kasih padanya. Dia yang mengandungkan Mia selama sembilan bulan sepuluh hari. Dia yang sakit melahirkan. Dia yang bukan ahli keluarga mereka!
            Mengapa seorang yang pernah menjadi ibu, tidak dapat memahami betapa sukarnya aku untuk berpisah dengan anak sulungku? Jika dia pernah merasa bahagia menimang cahaya mata, mengapa aku tidak diberi ruang untuk turut merasakannya.
            Pinggangku mula terasa perit.  Bibir kugigit payah.  Tidak dapat kulupakan betapa sakitnya tatkala doktor yang berbadan besar dan seorang jururawat yang juga tidak kurang agamnya, menekan perutku bagi memudahkan kelahiran. Begitu sakitnya, ditambah dengan sakit tatkala melahirkan, sungguh-sungguh tidak dapat kulupakan.
Selepas kelahiran Mia, aku mula merasa sesuatu yang aneh pada tulang belakangku. Aku tidak mampu pun untuk duduk melebihi setengah jam tatkala menggendong bayi yang hanya sekecil Mia. Urat-urat saraf terasa bagai ditarik-tarik. Aku dapat merasakan ada benjolan di tulang belakangku. Bagi mengurangkan kesakitan, aku lebih banyak berbaring dibandingkan dengan berdiri atau duduk.
            Lama kelamaan, aku mendengar kata-kata yang berbutir begini, “Bagaimanalah hendak membela anak kalau asyik tidur sahaja.”
            Seperti biasa, kata-kata sebegitu cuba kutelan walaupun pahit. Namun hakikatnya, tatkala ditelan, ia sangkut di hati, lalu berbekas di situ. Lalu timbullah parut-parut yang menunggu masa untuk berdarah semula.

BAB 1

“BENDA SEMUDAH NI PUN TAK BOLEH BUAT!” Asyraf menengking. Riak wajahnya bagai tidak percaya apa yang dilihat di hadapan matanya.
            Aku gugup. Tidak pernah kudengar nada begitu dari dia. Terkial-kial aku mengangkat kipas berdiri yang baru jatuh tadi.
            Aku sendiri tidak mengerti. Mengapa cuai benar aku sejak kebelakangan ini. Semua kerja terasa amat sukar. Semua benda terlalu susah untuk kuterjemahkan dalam fikiranku.
            Semua mata memandang tepat ke wajahku. Riak yang sukar ditafsirkan. Serta merta aku rasa malu yang teramat sangat. Kipas tadi kutinggalkan. Mia yang ada dalam dakapan Asyraf juga kutinggalkan. Aku bergegas ke dalam bilik lalu menutup pintu. Menggeletar tanganku tanpa kupaksa-paksa.  Suara kasar Asyraf tadi amat menusuk lubuk hatiku.
            Entah mengapa, kolam mataku terasa panas dan basah. Air mata mengalir lesu di pipiku. Di manakah terbangnya semangatku selama ini. Entah mengapa ceria itu juga sama hilang dengan layunya semangat.
            “Kak, jomlah kita makan.”
            Terdengar suara Aina di luar, diikuti ketukan perlahan.
            “Kak…  Boleh Aina masuk?” terdengar lagi suaranya yang lembut.
            Pintu kudekati. Tombol kupusing lalu dan pintu terkuak perlahan. Wajah manis Aina muncul di celah-celah daun pintu. Dia terjengok-jengok sambil tersenyum menyerigai seperti kebiasaannya.
            “Jomlah kak,” ajaknya, manja. Tidak ditegurnya mataku yang berair.
            “Tak apalah. Aina makan dulu, ya. Nanti Kak Suria datang,” balasku, tersenyum hambar. Hati yang tawar membuatkan butir-butir nasi rasakan bagai tidak tertelan di kerongkongku.
            Aina berlalu.  Aku kembali ke katil, lalu perlahan-lahan berbaring di situ. Bantal kekabu lembut buatan mak kuusap perlahan. Fikiranku terbang jauh.
            Entah mengapa Asyraf cepat sangat marah sejak kebelakangan ini, atau hanya aku yang merasakan begitu. Sebentar tadi Aina bagaikan tidak sedar kesedihanku. Apakah bagi mereka, suara tengking Asyraf itu hanya suatu kebiasaan di dalam keluarga mereka?
            Tapi, Asyraf harus sedar. Aku ini orang luar yang baru sahaja cuba memahami kehidupan bersama keluarganya. Bukan mudah untuk aku menyesuaikan diri.  Aku juga memang seorang yang amat pemalu bila tiba dalam hal-hal sebegini. Aku tidak biasa bercakap menengking-nengking.
            Terdengar bunyi daun pintu dibuka perlahan. Berkeriut-keriut bunyinya. Aku menelan pahit air liur. Tentu Asyraflah yang sedang mendekatiku. Aku dapat merasakan kehadirannya.
            “Sayang…  .  Kenapa?”
            Tubuhku diusap dari belakang. Terasa panas hembusan nafasnya di leherku. Aku diam membatukan diri.
            “Kenapa ni,” tanya dia lagi, lembut.
            Air mata mula mengalir bercucuran. Aku cuba menahannya namun tangisan semakin menjadi-jadi sehingga aku mula rasa pening.
            “Eh! Kenapa ni?” dia kaget. Cepat dialihnya tubuhku supaya berdepan dengannya. Susuk tubuhnya yang bidang itu kini makin rapat lalu aku berada di dalam pelukannya.
            Aku langsung tidak boleh bercakap. Hanya menangis lagi. Arghh, mengapa sukar  benar?
            Asyraf berbisik hangat ke telingaku, “Abang minta maaf kalau abang bersalah.” Satu ciuman hinggap di pipiku. Air mataku  dikesat dengan jari-jemarinya yang kasar.
            Memang Asyraf amat berseni tatkala memujuk. Aku kalah pada kehangatan belaiannnya. Tangisan yang tidak dapat kutahan tadi, kini mula reda. Hanya tinggal  aku yang masih terasa malu. Wajahku kusorok dari renungannya.
            “Jomlah makan,” ujarnya lagi, dengan nada suara memujuk.
            “Tak apalah, bang. Saya malu,” balasku, berat.
            “Malu? Kenapa pula?” dia bertanya, masih sukar menangkap kemelut hati ini.
            “Malu pasal tadilah,” aku berkata selaju mungkin, supaya dia faham rasa geram yang bersarang.
            “Eh, kami tak rasa apa-apa pun,” balasnya pula, kehairanan. “Kenapa harus malu?”
            Ya lah, kenapa harus malu? Aku mula terfikir.  Namun aku tiada jawapannya.
            “Nanti datang ya. Suria kena makan. Nanti Mia nak menyusu,” pujuk Asyraf. Dia melonggarkan pelukannya. “Abang kena pergi ni. Nanti mak hairan pula, apa yang dibuat berlama-lama dalam bilik,” ujarnya nakal sambil mencuit hidungku.
            Jatuh lagi wajahku ke dada lantai. Ucapan sebegitu amat menggetarkan sehingga membuatku bertambah malu. Terasa amat asing. Sungguh-sungguh aku tidak biasa dan aku tidak suka dengan anggapan-anggapan yang sedemikian.

            Dia pergi. Aku membelek-belek mataku yang sembab dek tangisan tadi. Sabarlah, pujuk hatiku lalu perlahan-lahan membuka pintu dan melangkah keluar dari bilik.

COVER

Sebuah karya oleh novelis Nurliswara

BAB 5

JIKA  TIDAK KERANA KULEPASKAN PELUANGKU ke UK untuk Mia dan Asyraf, mungkin aku tidaklah terlalu ralat melepaskan Mia pada emak mertuaku. ...