JIKA TIDAK KERANA KULEPASKAN PELUANGKU ke UK untuk Mia dan Asyraf, mungkin aku tidaklah terlalu
ralat melepaskan Mia pada emak mertuaku. Yalah, aku telah melepaskan satu
peluang besar yang mungkin tidak akan datang-datang lagi. Sanggupkah aku
melepaskan satu lagi kecintaan diriku, iaitu anak sulungku yang sangat manis
dan comel itu?
Sudahlah
yang selama ini dikejar telah dibiarkan pergi, yang ada dalam kendongan pun
mahu dilepaskan juga?
Sesiapapun
akan faham betapa beratnya apa yang kutanggung, melainkan orang itu terlalu ego
untuk memahami!
Selepas
kutolak peluang ke UK, Asyraf tidak lagi kelihatan sugul dan risau. Mungkin dia
rasa lega benar, sebab aku tidak berjauhan darinya. Maksudku, jauh beribu-ribu
batu. Atas sebab inilah, aku tidak lagi mahu berjauhan darinya. Aku mahu
sama-sama ada di sisinya waktu senang dan susah. Aku ingin selalu berbual-bual
di kala rehat petang dengan buah hatiku, lalu bercerita tentang Mia yang
keletah. Aku inginkan keindahan itu.
Adakah
harapan ini terlalu besar untuk aku? Oh... sungguh tidak adil jika dikatakan
aku tidak layak untuk semua itu.
“Kalau
Suria dah dapat kerja di Kuala Lumpur nanti, siapa yang akan jaga Mia?” tanya
Asyraf mematikan lamunanku.
“Kita
hantarlah pada pengasuh atau nursery,” balasku, yakin benar.
Asyraf
cepat menggeleng, “Itulah yang abang risau sangat. Abang tidak percaya orang
lain boleh jaga Mia sebaik emak abang.”
Aku
terkejut mendengar kata-katanya. Nampaknya, dari segi itu, Asyraf dan emaknya
sama sahaja, dua kali lima. Lalu, aku cepat sahaja membalas, “Habis tu, Suria
tak pandai jaga Mia?”
Bibit-bibit
pertengkaran bila-bila sahaja akan timbul jika tiada pihak yang menyejukkannya.
“Bukan
begitu, sayang. Tentulah Suria akan menjaga Mia sepenuh kasih sayang seorang
ibu. Tapi, dari segi pengalaman, emak abang yang lebih banyak pengalaman.”
Aku
terdiam. Memang ada betul kata-katanya. Tiada gunanya dilawan. Sudah itu
kehendak dia. Lalu akalku mula berjalan mencari penyelesaian.
“Kalau
macam tu, biarlah Suria duduk di rumah dulu untuk menjaga Mia, sampailah Mia
besar sedikit. Masa tu, barulah Suria cari kerja,” cadangku pula.
Asyraf
kelihatan kelegaan mendengar janjiku. Dia mula mampu tersenyum semula.
“Kalau
Suria tak kerja, lagilah senang. Bolehlah Suria duduk di kampung dengan emak.
Mia tak perlulah berpisah dengan emak abang,” katanya, lurus benar.
“Abang!!!”
Belumpun
sempat kami sampai ke Kuala Lumpur, dia sudah mencadangkan aku kembali tinggal
di kampung. Aduh, bendul benarkah suamiku ini!
Benarlah
kata orang, sukarnya hendak diselarikan kepala lelaki dan perempuan, walaupun
tidurnya sebantal.
