EMAK
MERTUAKU MENCIUM MIA BERTALU-TALU. Air matanya bercucuran. Setelah lima bulan aku dan Mia ditinggalkan
Asyraf dengan emaknya, akhirnya Asyraf bersetuju membawa aku pulang ke Kuala
Lumpur. Itupun setelah kudesak berkali-kali.
Aku
sebenarnya amat rendah hati, boleh sahaja tinggal dengan sesiapa pun. Itulah
pada hematku. Tidak kupasti apa pula kata orang tentangku. Namun, aku mula merasakan, apa gunanya aku
berkahwin dengan Asyraf, kalau diriku berkampung di rumah mertua tanpa
kehadirannya. Dia pula hanya mampu pulang dua atau tiga minggu sekali. Itupun
pulang sehari dua sahaja, dan diminta ahli keluarganya membuat itu ini
sehinggakan dia tidak sempatpun berbual-bual denganku.
Aku mula
merasa jauh dari Asyraf. Tidak kupastikan mengapa begitu lama Asyraf
meninggalkan aku di kampung. Dia tidak menjawab bila ditanya.
Lalu aku
mula meminta belas ehsan suamiku supaya aku dapat pulang ke Kuala Lumpur
bersama-sama dengannya. Aku ingin
bahagia bersamanya. Rasanya, impian ku ini bukanlah satu impian yang sangat
sukar dipenuhi. Sebagai isteri, di manakah selayaknya tempatku kalau bukannya
untuk sama-sama bersusah senang dengan suami. Impian yang bukan pun menjadi
impian pada wanita-wanita lain, tapi ianya bagaikan angan yang sukar bagi
diriku ini!
“Kau tak
kasihan kah tengok emak kau, Asyraf?” selar Mak Teh Noni yang merupakan adik
kepada emak mertuaku.
Asyraf
tidak berkata apa-apa. Riak wajahnya nampak gugup. Dia seperti tidak tahu apa
yang harus dilakukan. Dia bagaikan di persimpangan untuk memilih mengikut
kehendak aku atau kehendak ibunya.
“Alah...
Suria pun muda lagi, bukan? Nanti Suria beranaklah lagi,” tambah Mak Teh lagi,
langsung tidak berlapik.
Aku
tersenyum kelat. Tiada gunanya dilawan kata-kata emak saudaranya. Semakin
dibalas, semakin panjang pula jadinya nanti.
Namun,
aku semakin sedar, telingaku makin hari makin sensitif dengan perkataan-perkataan
begitu. Aku khuatir suatu hari nanti mulutku pula mula pandai menjawab. Sebelum terjadi perkara sebegitu, lebih baik
aku berundur terlebih dahulu.
Akhirnya
kami bertolak juga. Mia kupeluk lalu pandanganku hanyut ke luar tingkap
kereta. Bukan aku tidak kasihan pada
emak mertuaku. Aku masih punya pertimbangan kemanusiaan. Tapi, aku tidak boleh
berpisah dengan Mia.
Mengapa
mereka tidak mampu memahami. Aku boleh gila tanpa Mia!
Aku tahu
ada wanita yang cukup tabah dan kuat untuk berpisah dengan bayi mereka yang
masih kecil. Memang aku pernah bertemu sahabat-sahabatku yang begitu kuat
hatinya, berpisah jauh dari anak, kerana kesungguhan mereka mahu meyambung
pelajaran di luar negara. Tapi aku tidak setabah itu.
Setabah-tabahnya
wanita ini, aku pernah lihat rakan sebilikku yang menyambung pelajaran di
peringkat Phd, hampir hilang kewarasannya kerana anak dan suami berada beribu
batu jauhnya di kampung.
“Tergamak
ya, kita. Buat emak abang macam tu,” suara Asyraf tiba-tiba memecah kesunyian.
Aku
mengerut dahi. Wajah Asyraf kupandang. Dahiku mula terasa berkerut.
“Tapi
saya dah tinggalkan cita-cita saya untuk abang dan Mia,” aku mula membentak.
Asyraf
memandangku sekilas, lalu membalas, “Cita-cita?”
“Abang
dah lupa kah?”
Sungguh
aku tak percaya, masakan Asyraf lupa perbualan kami tentang hal ini suatu masa
dahulu, sewaktu perutku lima bulan mengandungkan Mia.
Asyraf
kelihatan menggigit bibirnya. Dia tidak lagi berkata apa-apa. Hanya wajahnya
sahaja yang kelihatan serius.
Begitulah
keadaan Asyraf yang aku kenali. Dia memang tidak suka bergaduh mulut denganku.
Biasanya, dia akan diam dan tidak berkata apa-apa, hinggakan hatiku pula yang
menderita kerana mengharapkan dia faham apa yang aku katakan.
No comments:
Post a Comment