BAB 4

SEMBILAN BULAN SEBELUMNYA...
            TANGANNYA YANG BERULAS KASAR MELURUT-LURUT PERUTKU. Sentuhan itu terlalu lembut, bagai begitu kasih pada nyawa yang ada di dalam. Dia tersenyum setenang-tenangnya.
            Aku menarik nafas dalam. Kebelakangan ini, aku kerap terasa sesak nafas, terutamanya bila bayi di dalam kandunganku mula bergerak.
            “Bagaimana ya, bang?” aku bertanya untuk ke dua kalinya, cuba menyedarkan dia yang diulit harapan-harapan indah.
            “Bagaimana apa, ya?” dia membalas kembali, masih tersenyum-senyum sendirian.
            “Tentang Surialah, nak sambung master dan Phd?” balasku pula, cuba menarik ingatannnya.
            “Oh, yang itu,” katanya.  “Suria pergilah, abang tak sanggup menghalang...,” sambungnya lagi, lambat benar butirnya. “Tapi..., bayi ini, tinggalkanlah pada abang di sini. Biar emak abang jagakan.”
            Aku merenungnya, kurang pasti apa niat sebenarnya.
            “Mengapa kena tinggalkan bayi ni pula. Mengapa Suria tak boleh bawa dia ke sana?” tanyaku pula, inginkan kepastian.
            “Sebab abang sayangkan dialah,” balas Asyraf, masih bermanis-manis.
            “Oh!” aku mula menjadi lorong untuk menduganya. “Jadi abang tak sayanglah pada Suria?”  rupa-rupanya, kata-katanya tadi menerbitkan rasa sedikit cemburu di hatiku. Hati perempuan, begitulah.
            “Abang tak mahu suatu hari nanti abang dipersalahkan bila Suria tak dapat sambung belajar,” balasnya, begitu teratur.  “Abang tak mahu keluarga Suria kata, abanglah penghalang masa depan Suria,” jelasnya lagi, dengan nada rendah.
            Aku terdiam. Barulah kufaham mengapa dia tidak banyak berbicara semenjak aku mendapat surat tawaran menyambung pelajaran di United Kingdom. Rupa-rupanya, dia sudah lama menimbang berat dan ringan keputusan yang bakal dibuatnya.
            Sikapnya yang begitu mendahulukan kehendak aku dan orang-orang tersayang di sekelilingnya, membuatkan aku begitu cinta padanya. Hinggakan bila berpisah berminggu-minggu dengannya, aku bagaikan angau jadinya. Setiap kali ada kereta yang lalu di hadapan rumah emaknya, mataku seakan-akan nampak Asyraflah yang memandunya, pulang untuk bertemu denganku.
            Kalaulah cinta ini selama-lamanya sebegitu indah dan hangat.  Aku bagaikan tidak percaya bahawa suatu masa nanti, mungkin cinta ini pudar padanya. Tidak sekali-kali perkara sebegitu akan terjadi.
            “Suria faham situasinya, bukan?” tanya Asyraf, meminta pengertianku.
            Aku mengangguk lemah. Tidak sanggup rasanya, berpisah dengan mereka. Aduh, berat sungguh fikiranku.
            “Takkanlah Suria kena bersendirian di UK tu?” aku mengeluh, khuatir benar.
            Asyraf menarik nafas dalam, sebelum melepaskan sedikit keluhan. Dia menutur kata satu persatu, “Abang pun tak tahu apa yang harus dibuat. Ikut hak abang sebagai suami, abang boleh sahaja tidak mengizinkan Suria terima tawaran tu. Tapi, abang tahu, Suria memang bercita-cita tinggi. Itu yang buat abang makin sayang, sebab Suria ada semangat hidup untuk diri sendiri.”
            Aku mendengar tanpa berkata apa-apa. Hanya bibir diketap kerana amat sedih mendengar tutur katanya.
            “Kalau boleh, abang tak mahu lepaskan Suria jauh dari abang. Suriakan di bawah tanggungjawab abang. Suria isteri abang...,” bicaranya kali ini kelihatan lebih beremosi.  “Tapi, sebagai anak lelaki sulung dalam keluarga, abang dah lama buang kehendak diri. Abang kena lihat dan beratkan apa kehendak emak, Suria, Mia, dan semua orang di sekeliling abang.”
            Dia diam, kali ini lebih lama. Berat benar apa yang mahu diluahkan kali ini. “Inilah yang buat abang dilema sangat-sangat... .”
            Aku makin resah. Semakin aku tidak tahu apakah keputusan yang harus aku ambil. Haruskah aku mendahulukan cita-citaku lalu berpisah dengan anak ? Atau, haruskah aku melepaskan peluang ini, pejam mata dan lupakan segala impianku, demi keluarga yang baru sahaja aku miliki ini?
            Argh...  Berat sungguh untuk membuat keputusan. Aku mula rasa bahawa kedua-dua keputusan ada kekecewaannya yang tersendiri.

No comments:

Post a Comment

BAB 5

JIKA  TIDAK KERANA KULEPASKAN PELUANGKU ke UK untuk Mia dan Asyraf, mungkin aku tidaklah terlalu ralat melepaskan Mia pada emak mertuaku. ...