Entah
mengapa, aku rasa tersirap darah naik ke mukaku. Aku keliru dengan
sebenar-benarnya. Mengapa pula anakku hendak diambil. Aku tidak sanggup
berpisah dengan Mia!
Namun,
getar di hatiku tidak sekali-kali kusuarakan. Aku cuba mengawal perasaanku
sambil kepalaku ligat cuba menyelesaikan persoalan yang timbul tiba-tiba itu.
Fikiranku
menerawang pada peristiwa sebulan lalu, sewaktu aku masih di dalam pantang. Mia
menangis meraung-raung sewaktu aku cuba menyusukannya. Dia kelihatan seperti
tidak puas menyusu badan. Dia meraung hingga hilang suara!
“Suria
bagi sahaja susu botol. Lagi mudah kenyang. Lagipun, kalau Mia menyusu badan,
nanti dia tak mahu berpisah dengan Suria.
Susahlah kalau mak nak jaga Mia bila Suria tiada nanti,” cadang emak
mertuaku dengan bersahaja lagaknya.
Aku yang
mendengar serta-merta meremang bulu roma. Apa tidaknya, bukankah cadangan itu
membawa maksud Mia mahu dipisahkan dariku. Menggigil tubuh badanku, terbang
rasa percayaku pada emak mertuaku.
Sewaktu
aku memakaikan pakaian ke badan Mia, emak Asyraf tiba-tiba datang mengambil Mia
dari peganganku. Baju yang baru kupakaikan ditanggalnya, lalu dia memakaikan
Mia pakaian yang baru dibelinya di pasar malam dua hari lepas.
Aku
terdiam. Walaupun hatiku tertanya-tanya, pertanyaan itu tidak kusuarakan. Aku
tidak mahu sesiapa membuat anggapan buruk terhadap persoalan yang kuutarakan.
Namun,
di hujung mataku, aku bagaikan nampak bahawa emak Asyraf tidak percayakan aku
untuk menjaga baik cucunya. Hatiku tersayat tiba-tiba. Baju yang kupakaikan,
adalah hadiah dari emak kandungku. Kenapa baju itu harus dibuang sedangkan baru
sahaja dipakaikan.
Hairannya
aku, sukar sangatkah bagi orang tua untuk menjaga hati orang muda seperti kami.
Orang muda zaman ini berpelajaran dan begitu sensitif dengan hak dan
kepercayaan. Zaman bagiku telah berubah. Orang muda dan warga tua harus adil
dan wajar dalam bertindak.
Pernah
sekali kupakaikan Mia dengan bedak talkum yang aku beli, emak Asyraf tiba-tiba
datang dengan tuala kecil yang agak lembap, lalu mencuci bedak yang baru kusapu. Mia
kemudiannya disapu dengan bedak sejuk buatannya sendiri.
Aku
tidak berkata apa-apa walaupun hatiku sedikit terusik.
Aku
dapat merasakan betapa sayangnya keluarga Asyraf pada Mia. Maklumlah, Mia cucu
sulung mereka, dari Asyraf yang merupakan anak sulung dalam keluarga. Jadi, Mia
disayang sebegitu sekali, sehingga mereka lupa, ada seorang lagi yang turut
kasih padanya. Dia yang mengandungkan Mia selama sembilan bulan sepuluh hari.
Dia yang sakit melahirkan. Dia yang bukan ahli keluarga mereka!
Mengapa
seorang yang pernah menjadi ibu, tidak dapat memahami betapa sukarnya aku untuk
berpisah dengan anak sulungku? Jika dia pernah merasa bahagia menimang cahaya
mata, mengapa aku tidak diberi ruang untuk turut merasakannya.
Pinggangku
mula terasa perit. Bibir kugigit
payah. Tidak dapat kulupakan betapa
sakitnya tatkala doktor yang berbadan besar dan seorang jururawat yang juga
tidak kurang agamnya, menekan perutku bagi memudahkan kelahiran. Begitu
sakitnya, ditambah dengan sakit tatkala melahirkan, sungguh-sungguh tidak dapat
kulupakan.
Selepas kelahiran Mia, aku mula merasa sesuatu yang aneh
pada tulang belakangku. Aku tidak mampu pun untuk duduk melebihi setengah jam
tatkala menggendong bayi yang hanya sekecil Mia. Urat-urat saraf terasa bagai
ditarik-tarik. Aku dapat merasakan ada benjolan di tulang belakangku. Bagi
mengurangkan kesakitan, aku lebih banyak berbaring dibandingkan dengan berdiri
atau duduk.
Lama
kelamaan, aku mendengar kata-kata yang berbutir begini, “Bagaimanalah hendak
membela anak kalau asyik tidur sahaja.”
Seperti
biasa, kata-kata sebegitu cuba kutelan walaupun pahit. Namun hakikatnya,
tatkala ditelan, ia sangkut di hati, lalu berbekas di situ. Lalu timbullah
parut-parut yang menunggu masa untuk berdarah semula.
No comments:
Post a Comment